01 November 2008

FORMULA 7A (by Dr. Danial bin Zainal Abidin)

Sumber daripada Laman Web: http://www.mindasuper.com/ oleh Oleh Dr Danial Zainal Abidin


1- Autentik
Ilmu adalah penting dalam Islam dan ilmu bertunjangkan dalil yang sahih lagi kuat teramat penting dalam beragama. Dalam Islam, di samping Al-Quran serta hadis-hadis yang mutawatir, riwayat-riwayat yang sahih, hasan-sahih dan hasan juga diterima sebagai dalil untuk pembinaan hukum-hakam Islam. Berhubung dengan hadis yang daif, ia tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk menetapkan sebarang hukum agama sama ada yang berkaitan dengan perkara yang wajib, sunat, haram atau yang lain-lainnya.

Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Azkar menjelaskan, “Ulama hadis, fikah dan lain-lainnya berpendapat, digalakkan serta harus memanfaatkan hadis-hadis daif untuk menjelaskan fadilat atau kelebihan sesuatu amalan, atau untuk merangsang manusia supaya beramal atau untuk mendatangkan perasaan takut supaya manusia menjauhi kemungkaran. Walau bagaimanapun, jika sesuatu hadis dikategorikan sebagai mauduk, ia tidak boleh digunakan. Dalam aspek penetapan hukum seperti halal, haram, hukum jual beli, nikah, talak dan yang seumpamanya, hadis-hadis daif tidak boleh digunakan. Yang boleh digunakan ialah hadis-hadis bertaraf sahih dan hasan.”

2- Akidah
Akidah merupakan tunjang Islam dan ia berkaitan dengan kepercayaan. Akidah yang betul ialah yang selari iktikad Ahli Sunah Wal Jemaah. Ia adalah keyakinan yang mantap di hati disusuli dengan manifestasi melalui perkataan dan amalan di dalam kehidupan. Keyakinan di hati adalah tonggak kepada iman dan tanpanya iman seseorang dianggap tidak sah sama sekali. Nabi bersabda, “Sesungguhnya golongan Bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan umatku berpecah kepada 73 golongan, kesemua mereka di dalam neraka kecuali satu. (Sahabat-sahabat) bertanya: ‘Siapakah yang satu itu wahai Rasulullah?’ Nabi s.a.w menjawab: Mereka yang mengikut landasan yang aku dan sahabatku bawa.” (riwayat Tirmizi)

3- Amal Salih
Kepercayaan menjadi pudar tanpa amalan. Amalan pula adalah tertolak melainkan amalan yang salih. Asas kepada amalan yang salih ialah firman Allah yang bermaksud, “Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah di samping melakukan kebaikan baginya ganjaran dari sisi Tuhannya, tidak ada ketakutan ke atasnya dan dia tidak akan berdukacita.” (al-Baqarah ayat 112)

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata: “(Ayat ini) menjelaskan, Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria, pertamanya ikhlas dan keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Jika sesuatu amal dilakukan dengan tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikut (syariat), ia tidak diterima (oleh Allah).”

4- Awlawiyat
Sebagai suatu agama yang lengkap, Islam bukan hanya menyuruh umatnya melakukan amal, ia juga menuntut umatnya menentukan keutamaan ketika beramal. Sehubungan dengan ini kaedah-kaedah fiqhul awlawiyyat atau fikah keutamaan perlu dikuasai oleh umat Islam. Profesor Dr. Yusuf Qardawi dalam bukunya Fiqhul Awlawiyyat berkata, “(Ilmu ini) dapat membantu pejuang-pejuang yang bergiat cergas dalam penyebaran dakwah. Dengannya mereka dapat membezakan antara perkara utama dan yang perlu dikemudiankan, antara yang perlu dipandang berat dan dipandang ringan dan antara yang perlu dipermudahkan dan diperteguhkan. Dengan ilmu ini, ia dapat membetulkan sikap mereka yang terlampau keras dan juga meluruskan sikap mereka yang terlampau meringankan kewajipan.”

Kejahilan berhubung fikah keutamaan akan melahirkan insan yang songsang dalam kehidupan. Mereka, sebagai contoh, akan rajin mengerjakan solat sunat dan mengabaikan solat fardu; lebih mengutamakan hafalan dari kefahaman; lebih mementingkan dunia dari agama; lebih mengutamakan kulit dari hati dan lebih mementingkan kerjaya dari keluarga. Sumber fikah keutamaan sebenarnya ialah Al-Quran dan As-Sunah

5- Akhlak
Kualiti dan kejayan tidak dapat dipisahkan dari kebersihan hati serta akhlak. Justeru Islam amat menekankan aspek kejujuran, amanah, tolong-menolong serta bermaaf-maafan dalam hidup serta kerjaya. Akhlak yang mulia adalah sebahagian daripada takwa dan tanpanya kualiti tidak akan tercapai. Dalam surah Ali-Imran ayat 133-134 Allah berfirman, “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi mereka yang bertakwa. (Iaitu) mereka yang menafkahkan hartanya di waktu senang dan susah serta mereka yang menahan perasaan marahnya dan memaafkan kesalahan orang. Allah menyukai orang-orang yang membuat kebajikan.”

Berpandukan landasan ini, seseorang yang berjaya dalam sesuatu bidang dengan cara menipu, merasuah, menjiplak karya orang lain, memutar belit kebenaran, memfitnah, memonopoli serta menzalimi hak orang lain tidak boleh dianggap sebagai seorang yang berjaya dalam erti kata yang sebenarnya. Di sisi Allah, manusia seperti ini dianggap sebagai manusia fasiq yang keji. Justeru, hasil kerjanya tidak boleh dianggap sebagai suatu yang berkualiti kerana ia tidak disadur dengan akhlak. Mengikut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Tirmizi, nabi bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling mulia akhlaknya.”

6- Amanah
Dalam surah Al-Ahzab ayat 72, Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung ganang tetapi mereka enggan memikulnya dan berasa berat dengannya, sebaliknya ia dipikul oleh insan. Sesungguhnya mereka amat zalim lagi jahil.” Ayat ini adalah satu perumpamaan daripada Allah tentang amanah. Ia adalah suatu yang berat sehingga tidak sanggup dipikul oleh makhluk-makhluk Allah yang besar seperti langit, bumi serta gunung ganang kerana mereka menyedari jika amanah ini dikhianati azab menanti mereka. Sebaliknya manusia yang kerdil ini sanggup menerimanya. Justeru sebahagian daripada manusia mendapat azab Allah kerana mengkhianatinya. Mereka yang cuai ini ialah golongan yang zalim lagi jahil.

Insan yang berjaya ialah mereka yang beramanah. Apakah yang dimaksudkan dengan amanah? Mengikut Imam Qatadah, “Amanah ialah Islam, ibadah yang fardu dan batas-batas agama.” Imam Al-Alusi pula berkata, “Amanah ialah tanggungjawab yang berkaitan dengan hak-hak Allah dan hak-hak makhluk sama ada berbentuk perbuatan, perkataan atau kepercayaan.”

7- Asah
Asah bermaksud mengasah dan menajamkan kemahiran agar setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Allah menceritakan tentang Zulkarnain yang mempunyai kemahiran berkomunikasi sehingga memahami maksud percakapan satu golongan yang hdup di kawasan yang terpencil. Beliau berkemahiran untuk kemudiannya membantu mereka daripada kemungkaran Yakjuj dan Makjuj.

Allah berfirman, “Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia mendapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu bolehkah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka? Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan bagiku lebih baik (dari bayaran kamu) ; oleh itu bantulah daku dengan tenaga agar aku bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

(Berkata Zulqarnain) : ‘Berilah aku potongan-potongan besi’. Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua puncak gunung itu, berkatalah Zulqarnain: ‘Tiuplah (api itu).’ Apabila besi itu menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: ‘Berikan aku tembaga yang mendidih agar ku tuangkannya ke atas besi panas itu’. Maka mereka tidak mampu mendakinya dan mereka juga tidak mampu untuk melubanginya.” (al-Kahfi ayat 93-97


Sekian.

Wabillahitaufik walhidayah.

No comments:

Sumber : http://www.firdauskasim.com/2011/02/tutorial-yang-didedikasikan-kepada-azza.html#ixzz1PRfftMsn

Popular Posts

Custom Search