26 November 2007

Erti 'Belajar Bertatih' Pada Anda

Assalammualaikum dan Semoga Mendapat Kesejahteraan hendaknya,


Persoalan saya iaitu apakah pengertian 'Belajar Bertatih' pada diri anda? Bagi diri saya, sebelum kita berjalan atau berlari kita akan menempoh tempoh masa 'bertatih'. Bangun perlahan-lahan dan melangkah kaki perlahan-lahan dan tangan pula cuba mengapai sesuatu supaya tidak terjatuh.


Namun langkah kaki kita akan tersekat sebab tidak biasa lagi mengatur langkah seterusnya dan mulalah terjatuh sekali lagi dan cuba bangkit semula dan melangkah lagi agar tapak kaki kita sudah biasa dengan keadaan permukaan simen yang dipijak itu. Jika terjatuh sekali pun ibu atau bapa kita anak menggalakkan supaya kita cuba dan cuba lagi melangkah sehingga ke hujung sana sampai berjaya. Rasanya kita mungkin tidak akan ingat bagaimana perasaan kita ketika itu ye..


Maklumlah peristiwa yang sudah lama berlaku manakan kita ingat, walau pun diceritakan kembali oleh ibu bapa kita sekali pun. Kita cuma mengangguk dan tersenyum aje mendengarnya.


Apa yang hendak saya ketengahkan disini ialah walaupun kita tidak ingat peristiwa yang telah berlaku itu namun cubalah kita memahami dan mengerti bahawa bukanlah mudah untuk berjaya jika kita tidak berusaha dengan gigih dan menanamkan perasaan ingin belajar dan akhirnya meletakkan matlamat ingin maju serta dapat membantu kepada mereka yang baru hendak 'belajar bertatih' itu..


Hidup ini selalulah bersyukur pada apa yang ada. Tidak kiralah sama ada kita terima sedikit atau lebih daripada rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan semesta alam. Seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Kauthar ayat 1-3 yang ertinya:


"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari rahmat Allah). "
Diringkaskan cerita apa jua yang dikurniakan oleh Allah rezeki kepada kita itu perlulah kita mengucapkan berbanyak-banyak kesyukuran, kerana jika kita bersyukur pasti ditambahkan lagi kurnia yang tidak disangka-sangka. Percaya dan yakinlah dengan tanpa batasan bahawa keterangan al-quran ini adalah benar, melainkan benar, tiada lain benar melainkan ia benar-benar belaka.
Bila anda 'terjatuh' hari ini jangan lupa masa lalu pun anda pernah 'jatuh' masa bertatih' dulu.
Bila hati telah tenang rezeki pun akan datang, idea yang datang bukan calang-calang, boleh bikin gempak sesiapa yang memandang. Jangan paksa ia datang kepada anda sebab ia bukan boleh dihalang jika kita sentiasa bersabar disamping mengerjakan Solat. Dalam Solatlah fikiran kita tenang. Jangan diingati idea ketika sedang Solat itu sebab itu cuma cubaan semata-mata. Fokuskan pada yang satu iaitu Solat anda sahaja. Sesudah tenang catatkan apa yang telah terlintas setelah selesai Solat anda.. (pastikan ada kertas serta pen disebelah belakang anda..)
Sekian, buat masa ini. wasalam

06 November 2007

PANDUAN PEMBELI RUMAH ( Mesti ambil tahu)

PANDUAN PEMBELI RUMAH


Hak dan Kepentingan Pembeli dalam Perjanjian Jual dan Beli Rumah


Perlu difahami isi perjanjian Jual dan Beli rumah sepertimana JADUAL G dan H yang terdapat dalam Peraturan-Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.


Bayaran Pertama


Pembeli perlu menandatangani SPJB pada masa pembayaran pertama 10% harga rumah dibayar kepada pemaju. Pastikan tarikh bayaran pertama dan SPJB adalah tarikh yang sama.


Untuk makluman pemaju tidak boleh mengutip apa-apa bayaran dengan nama apa pun tanpa suatu Surat Perjanjian Jual dan Beli.


Perakuan Arkitek


Pastikan apa-apa tuntutan bayaran ansuran kepada pemaju disokong dengan satu perakuan yang ditandatangani oleh Arkitek atau Jurutera Pemaju yang bertauliah.


Faedah Yang Dikenakan


Sekiranya pembeli atau pembiayaan (End Financier) pembeli gagal membayar bayaran ansuran dalam tempoh 21 hari bekerja dari tarikh menerima notis bertulis bayaran, pembeli akan dikenakan faedah oleh pemaju yang dikira dari hari ke hari atas kadar 10% setahun ke atas ansuran yang tidak berbayar.


Pembatalan Perjanjian Jual dan Beli


Sila ambil ingatan bahawa kegagalan pembeli membayar bayaran ansuran dan faedah yang dikenakan bagi suatu tempoh melebihi 28 hari, pemaju boleh menamatkan perjanjian Jual dan Beli.

Pemaju hendaklah menghantar Surat Berdaftar A.R. kepada pembeli tentang hasratnya membatalkan Perjanjian Jual dan Beli.

Bayaran Penyelenggaraan Infrastruktur


Pembeli hendaklah membayar kos penyenggaraan infrastruktur dari tarikh pemilikan kosong sehingga masa penyenggaraan infrastruktur diambil alih oleh Pihak Berkuasa Berkenaan atau Perbadanan Pengurusan (bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi.

Infrastruktur yang dimaksudkan ialah:

a) Bagi tanah dan bangunan

Jalan, jalan masuk rumah, parit, pembentung, saluran air dan loji pembentungan bagi pemajuan perumahan berkenaan.

b) Bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi

Jalan, jalan masuk rumah, parit, pembentung, saluran air dan loji pembentungan bagi bangunan berkenaan.

Bayaran Penyelenggaraan Perkhidmatan

Mulai dari tarikh pemilikan kosong pembeli hendaklah membayar bagi perkhidmatan-perkhidmatan seperti berikut:-

Bagi tanah dan bangunan

i) Perkhidmatan pungutan sampah, pembersihan parit-parit awam, pemotongan rizab jalan.

ii) Bayaran ini wajib dibayar hanya sehingga perkhidmatan ini diambil alih oleh Pihak Berkuasa Yang Berkenaan.

iii) Pembeli hendaklah membayar pendahuluan sebanyak 6 bulan pada masa mengambil pemilikan kosong. Sekiranya selepas 6 bulan, perkhidmatan ini masih belum di ambil alih Pihak Berkuasa Yang Berkenaan, apa-apa pembayaran selepas itu hendaklah dibayar secara pendahuluan bulanan.


Bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi;


i) Bayaran perkhidmatan adalah bagi penyenggaraan dan pengurusan harta bersama dan pembayaran bermula apabila pemilikan kosong diambil.


ii) Pembeli hendaklah membayar deposit satu (1) bulan dan tiga (3) bulan pendahuluan bagi perkhidmatan penyenggaraan ini dan apa-apa bayaran kemudian hendaklah dibayar satu bulan terdahulu.


iii) Bayaran perkhidmatan penyenggaraan ini wajib dibayar kepada pemaju daripada tarikh pemilikan kosong sehingga penubuhan suatu perbadanan pengurusan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985.


iv) Apabila Perbadanan Pengurusan (Management Corporation) di tubuhkan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985, perkhidmatan penyenggaraan akan diambil alih oleh Perbadanan Pengurusan ini dan pembeli adalah wajib membayar perkhidmatan penyenggaraan kepada Perbadanan ini dan bukan lagi kepada pemaju.



Ingatan:-

Pembeli perlu mengambil ingatan bahawa perkhidmatan penyenggaraan ini wajib dibayar selagi pembeli adalah pemilik petak dalam bangunan yang diselenggarakan.


Kumpulan Wang Penjelas (Sinking Fund)

Bagi bangunan yang bermaksud dipecahbahagi sahaja.


Pembeli hendaklah pada tarikh mengambil pemilikan kosong petak mencarum kepada kumpulan wang penjelas suatu amaun yang sama dengan sepuluh peratus (10%) daripada bayaran perkhidmatan.


Pembeli hendaklah membayar deposit satu (1) bulan dan tiga (3) bulan pendahuluan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Penjelas mulai tarikh pemilikan kosong dan selepas itu caruman yang sedemikian hendaklah dibayar satu bulan terdahulu.

Bayaran Cukai Tanah, Cukai Taksiran dan Lain-lain


Mulai dari tarikh Pemilikan Kosong atau tarikh harta dipindahmilik mengikut mana yang terdahulu, pembeli adalah bertanggungjawab membayar cukai tanah, kadaran, cukai taksiran dan bayaran-bayaran lain berkenaan dengan harta yang dibeli.


Tempoh Pemilikan Kosong

Pemilikan kosong bangunan dengan bekalan air dan elektrik sedia untuk penyambungan hendaklah diserahkan kepada pembeli dalam tempoh 24 bulan kalendar dari tarikh Perjanjian (bagi tanah dan bangunan) dan 36 bulan (bagi bangunan yang dipecahbahagi).


Syarat-Syarat dan Hak Pembeli Semasa Penyerahan Pemilikan Kosong (VP)


Pastikan harta bebas daripada sebarang bebanan semasa menerima notis penyerahan pemilikan kosong. Sekiranya pemaju memajak tanah atau harta, minta pemaju selesaikan baki yang ada semasa penyerahan pemilikan kosong.


Syarat-syarat yang perlu dipatuhi:-

1) Perakuan dikeluarkan oleh Arkitek Pemaju yang mengesahkan:


a. Bangunan tersebut telah siap.
b. Bekalan air dan elektrik sedia untuk penyambungan.

2) Pemaju telah memohon:


a. Pengeluaran CFO melalui Borang E *
b. PBT telah mengeluarkan surat perakuan bahawa Borang E telah disemak dan diterima oleh PBT.


* Borang E adalah permohonan daripada Arkitek pemaju kepada PBT untuk pengeluaran CFO.


Pembeli hanya boleh menduduki rumah apabila CFO sudah dikeluarkan oleh PBT dan kerja-kerja mengubah suai rumah hanya dibenarkan selepas mendapat CFO serta kelulusan pelan oleh PBT berkenaan.


Semasa pemeriksaan bangunan, sebarang kecacatan sahih direkodkan dan diserahkan kepada pemaju untuk tujuan pembaikan. Pastikan anda mendapat salinan aduan. Pembeli berhak menuntut ke atas kelewatan pemaju menyiapkan rumah.


Bayaran Gantirugi


Sekiranya pemaju gagal menyerahkan Pemilikan Kosong Bangunan pada masa yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual dan Beli, pemaju hendaklah membayar kepada pembeli gantirugi yang dikira dari hari ke hari dengan kadar 10% setahun daripada harga beli rumah.


Tempoh Liabiliti Kecacatan


Tempoh Liabiliti Kecacatan adalah 18 bulan selepas Penyerahan Pemilikan Kosong.

Penubuhan Perbadanan Pengurusan Bagi Tanah dan Bangunan Yang DiPecahbahagi

Satu Perbadanan Pengurusan akan diwujudkan oleh pembeli-pembeli apabila Hakmilik Strata bagi tiap-tiap petak dikeluarkan dan dipindahmilik kepada pembeli.

Selain daripada beberapa fungsi lain, Perbadanan pengurusan adalah bertanggungjawab untuk menginsurankan dan menyelenggara bangunan.

Pertanyaan atau Aduan Perumahan

Anda boleh menghubungi :

Bahagian Pengawasan dan Penguatkuasa
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Paras 3, Blok B Utara, Pusat Bandar Damansara
50782 KUALA LUMPUR

No.Tel : 03 - 20947033
N o.Fax : 03 - 20925049

04 November 2007

CIRI-CIRI KESELAMATAN WANG KERTAS MALAYSIA (MESTI TAHU!!)

PENGENALAN
Kadangkala wang kertas boleh bertukar rupa menjadi lusuh, cacat atau rosak sehingga menimbulkan masalah pula tentang apa yang harus dilakukan ke atasnya. Wang kertas Malaysia kini mengandungi beberapa ciri-ciri keselamatan yang terbaru. Pengetahuan mengenai perkara ini begitu penting dan berguna supaya anda tahu apa yang perlu diperhatikan jika terjumpa atau menerima wang kertas yang agak meragukan.

Halaman ini bertujuan membantu anda membezakan antara wang kertas tulen dan wang palsu, serta tindakan yang perlu diambil apabila menerima atau menjumpainya.
WANG YANG SAH DIPERLAKUKAN DENGAN NILAI

Hanya wang kertas dan duit syiling yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sahaja yang sah diperlakukan dengan nilai (iaitu, sah untuk digunakan di Malaysia). Wang kertas dan duit syiling tidak boleh diconteng atau dirosakkan permukaannya untuk sah diperlakukan dengan nilai. Bagi duit syiling, jumlah yang boleh digunakan untuk membuat pembayaran adalah terhad. (Jadual di bawah menunjukkan had yang boleh diperlakukan untuk membuat pembayaran dengan menggunakan duit syiling). Walau bagaimanapun, tiada had dikenakan bagi pembayaran dengan menggunakan wang kertas.

PENYALINAN ATAU PENGELUARAN SEMULA MATA WANG MALAYSIA

Anda tidak dibenarkan untuk menyalin atau mengeluarkan semula mata wang Malaysia. Adalah juga menjadi kesalahan menggunakan gambar foto, lukisan atau reka bentuk sebarang wang kertas atau duit syiling atau sebahagian wang kertas atau duit syiling walau apa saiz, skala atau warna sekalipun pada iklan atau barangan atau produk yang dikilang, dijual dan diedarkan atau diagihkan kecuali dengan kebenaran BNM. Anda mungkin didenda sehingga RM5,000 jika menyalin atau mengeluarkan semula mata wang Malaysia tanpa kebenaran BNM.

WANG KERTAS & DUIT SYILING DI EDARAN

Semenjak tahun 1967, BNM telah mengeluarkan tiga siri wang kertas dan dua siri duit syiling untuk edaran. Siri yang diedarkan masa kini ialah siri ketiga yang bertemakan "WAWASAN 2020" yang mencerminkan pembangunan ekonomi Malaysia. Siri ini mengandungi 6 denominasi kesemuanya, iaitu, RM1, RM2, RM5, RM10, RM50 dan RM100. Siri tersebut menerapkan beberapa ciri-ciri keselamatan yang baru sebagai tambahan kepada ciri-ciri keselamatan yang sedia ada untuk membendung kegiatan yang berkaitan dengan wang palsu.


Duit syiling Malaysia yang berada di edaran merangkumi duit 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen, 50 sen dan RM1. Pelbagai alat dan perkakas yang digunakan dalam permainan kebudayaan tradisional kini dipaparkan pada permukaan di mana tiada terdapat nilai muka duit syiling.
CIRI-CIRI KESELAMATAN DUIT SYILING
Ciri-ciri keselamatan yang diterapkan pada duit syiling ialah terdapatnya ukiran timbul pada reka bentuk, kelilingnya yang bergerigi dengan nombor dan karektor pada muka hadapan dan belakang. Jika duit syiling dijatuhkan pada permukaan yang keras, maka bunyi berdering akan kedengaran. Anda juga boleh memeriksa warna duit syiling tersebut untuk memastikan warnanya sama dan serata.
CIRI-CIRI KESELAMATAN WANG KERTAS MALAYSIA
Untuk membantu anda mengenal pasti ketulenan wang kertas, ciri-ciri keselamatan utama wang kertas Malaysia (siri ketiga) adalah seperti berikut:

Kertas
Wang kertas Malaysia dihasilkan daripada kertas yang bermutu tinggi yang diperbuat daripada kapas. Apabila disentuh, wang kertas terasa kesat sedikit dan apabila diramas hasilnya ialah bunyi kerangupan yang unik.

Potret Yang di-Pertuan Agong
Potret Yang di-Pertuan Agong Pertama yang terdapat di sebelah kanan wang kertas adalah satu ciri pencegah pemalsuan yang sukar untuk disalin atau dikeluarkan semula.

Potret Tanda Bayang [1]
Imej samar-samar Potret Yang di-Pertuan Agong Pertama boleh dilihat pada petak kosong di sebelah kiri wang kertas, sekiranya ditatap pada cahaya. Imej daripada cahaya ini bercorak 3 dimensi dengan alunan warna gelap dan terang yang berbeza-beza dalam keadaan lembut dan berbayang, tanpa garisan luar yang nyata. Di bahagian bawah potret tanda bayang ini terdapat angka berkaitan. Sebagai contoh, angka 50 dipaparkan untuk denominasi RM50.
Benang Keselamatan [2]
Benang keselamatan ini ditenun di permukaan sebelah belakang wang kertas. Apabila dilihat pada cahaya, benang ini kelihatan seperti satu garisan lurus yang kehitaman dengan huruf dan nombor yang berkaitan dicetak berulang kali. Sebagai contoh, "BNM RM50" dicetak berulang kali pada wang kertas denominasi RM50.
Ciri-ciri LEAD [3]
Di sebelah kanan wang kertas denominasi RM50 dan RM100, terdapat jalur hologram yang berkilau. Jalur hologram ini mengandungi 3 perkara, iaitu:
  1. Imej yang sama dengan yang terdapat di sebelah kanan potret Yang di-Pertuan Agong Pertama.
  2. Imej yang menunjukkan angka denominasi (contoh RM50)
  3. Imej huruf-huruf "BNM"

Ciri-ciri PEAK [4]

Ciri-ciri PEAK ini terdapat di bahagian tengah wang kertas. Apabila dilihat dari sudut yang berlainan pula, angka denominasi boleh dilihat di pertengahan kotak. Sebagai contohnya, angka 50 dicetak untuk wang kertas denominasi RM50.

Tanda Pandang Telus [5]

Bunga raya di bahagian atas dan bawah wang kertas adalah serupa di kedua-dua belah permukaan (depan dan belakang) wang kertas.

Cetakan Intaglio [6]

Potret Yang di-Pertuan Agong Pertama, nombor denominasi corak dan perkataan 'BANK NEGARA MALAYSIA' adalah dicetak dengan beberapa lapisan dakwat halus untuk menghasilkan kesan timbul.


CIRI-CIRI KESELAMATAN DUIT SYILING

Ciri-ciri keselamatan yang diterapkan pada duit syiling ialah terdapatnya ukiran timbul pada reka bentuk, kelilingnya yang bergerigi dengan nombor dan karektor pada muka hadapan dan belakang. Jika duit syiling dijatuhkan pada permukaan yang keras, maka bunyi berdering akan kedengaran. Anda juga boleh memeriksa warna duit syiling tersebut untuk memastikan warnanya sama dan serata.

WANG KERTAS LUSUH

Setelah agak lama di edaran, wang kertas boleh bertukar menjadi lusuh. Anda boleh menukar atau mendepositkan wang kertas lusuh di mana-mana cawangan bank perdagangan. Adalah tidak wajar wang kertas lusuh diedarkan semula memandangkan ia tidak begitu sesuai lagi untuk digunakan kerana ciri-ciri keselamatannya sudah tidak berkesan lagi seperti mana yang terdapat pada wang kertas bersih. Di samping itu, keupayaan orang ramai mengenal pasti wang kertas yang tulen akan terjejas. Anda boleh memainkan peranan untuk memastikan wang kertas sempurna dan bersih sahaja berada di edaran dengan menukarkan wang kertas lusuh dengan wang kertas sempurna. Keadaan wang kertas yang sempurna dan bersih ini sebenarnya mencerminkan imej negara kita.

WANG KERTAS YANG TERCONTENG

Anda adalah dinasihatkan agar tidak menconteng permukaan wang kertas dengan apa-apa perkataan, tanda, simbol, lukisan atau mesej yang tidak enak dibaca. Anda juga dinasihatkan agar tidak menebuk lubang pada duit syiling. Jika anda berbuat demikian, tiada nilai yang dapat diberikan ke atas wang kertas atau duit syiling tersebut apabila ditukar di bank perdagangan atau cawangan BNM.

WANG KERTAS CACAT

Jika anda memiliki wang kertas cacat dan telah rosak, anda boleh menukarkannya dengan wang kertas baru di mana-mana cawangan BNM. Wang kertas yang mengalami kecacatan atau kerosakan yang teruk akan menjalani pemeriksaan yang rapi sebelum nilainya dapat diberi. Faktor utama yang menyebabkan wang rosak ialah apabila terbakar atau terkena air, bahan kimia dan bahan letupan. Selain daripada itu, kerosakan boleh berlaku akibat haiwan dan serangga atau dalam keadaan tertanam atau terurai. Keputusan untuk memberi nilai adalah tertakluk kepada budi bicara BNM.

MATA WANG PALSU:

APA TINDAKAN ANDA?

  • Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil jika anda mengesyaki seseorang telah memberi wang palsu Malaysia kepada anda:
  • Cuba lengahkan pemergian orang yang memberi wang palsu tersebut serta camkan orangnya dan temannya, jika ada, di samping nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan.
  • Jangan menconteng, memotong atau mengedar semula wang palsu tersebut.
  • Jika perlu menyentuh wang tersebut, pastikan sentuhan adalah yang paling minimum (anda boleh memasukkannya ke dalam sampul surat atau beg plastik). Catatkan butir-butir yang agak penting, seperti bagaimana anda mendapat wang tersebut, daripada siapa, di mana dan bila anda memperolehinya.
  • Bawalah wang palsu tersebut ke balai polis yang berhampiran dan serahkanlah ia kepada pihak polis sebaik sahaja laporan polis telah dibuat.
Sumber : http://www.firdauskasim.com/2011/02/tutorial-yang-didedikasikan-kepada-azza.html#ixzz1PRfftMsn

Popular Posts

Custom Search