04 November 2007

CIRI-CIRI KESELAMATAN WANG KERTAS MALAYSIA (MESTI TAHU!!)

PENGENALAN
Kadangkala wang kertas boleh bertukar rupa menjadi lusuh, cacat atau rosak sehingga menimbulkan masalah pula tentang apa yang harus dilakukan ke atasnya. Wang kertas Malaysia kini mengandungi beberapa ciri-ciri keselamatan yang terbaru. Pengetahuan mengenai perkara ini begitu penting dan berguna supaya anda tahu apa yang perlu diperhatikan jika terjumpa atau menerima wang kertas yang agak meragukan.

Halaman ini bertujuan membantu anda membezakan antara wang kertas tulen dan wang palsu, serta tindakan yang perlu diambil apabila menerima atau menjumpainya.
WANG YANG SAH DIPERLAKUKAN DENGAN NILAI

Hanya wang kertas dan duit syiling yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sahaja yang sah diperlakukan dengan nilai (iaitu, sah untuk digunakan di Malaysia). Wang kertas dan duit syiling tidak boleh diconteng atau dirosakkan permukaannya untuk sah diperlakukan dengan nilai. Bagi duit syiling, jumlah yang boleh digunakan untuk membuat pembayaran adalah terhad. (Jadual di bawah menunjukkan had yang boleh diperlakukan untuk membuat pembayaran dengan menggunakan duit syiling). Walau bagaimanapun, tiada had dikenakan bagi pembayaran dengan menggunakan wang kertas.

PENYALINAN ATAU PENGELUARAN SEMULA MATA WANG MALAYSIA

Anda tidak dibenarkan untuk menyalin atau mengeluarkan semula mata wang Malaysia. Adalah juga menjadi kesalahan menggunakan gambar foto, lukisan atau reka bentuk sebarang wang kertas atau duit syiling atau sebahagian wang kertas atau duit syiling walau apa saiz, skala atau warna sekalipun pada iklan atau barangan atau produk yang dikilang, dijual dan diedarkan atau diagihkan kecuali dengan kebenaran BNM. Anda mungkin didenda sehingga RM5,000 jika menyalin atau mengeluarkan semula mata wang Malaysia tanpa kebenaran BNM.

WANG KERTAS & DUIT SYILING DI EDARAN

Semenjak tahun 1967, BNM telah mengeluarkan tiga siri wang kertas dan dua siri duit syiling untuk edaran. Siri yang diedarkan masa kini ialah siri ketiga yang bertemakan "WAWASAN 2020" yang mencerminkan pembangunan ekonomi Malaysia. Siri ini mengandungi 6 denominasi kesemuanya, iaitu, RM1, RM2, RM5, RM10, RM50 dan RM100. Siri tersebut menerapkan beberapa ciri-ciri keselamatan yang baru sebagai tambahan kepada ciri-ciri keselamatan yang sedia ada untuk membendung kegiatan yang berkaitan dengan wang palsu.


Duit syiling Malaysia yang berada di edaran merangkumi duit 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen, 50 sen dan RM1. Pelbagai alat dan perkakas yang digunakan dalam permainan kebudayaan tradisional kini dipaparkan pada permukaan di mana tiada terdapat nilai muka duit syiling.
CIRI-CIRI KESELAMATAN DUIT SYILING
Ciri-ciri keselamatan yang diterapkan pada duit syiling ialah terdapatnya ukiran timbul pada reka bentuk, kelilingnya yang bergerigi dengan nombor dan karektor pada muka hadapan dan belakang. Jika duit syiling dijatuhkan pada permukaan yang keras, maka bunyi berdering akan kedengaran. Anda juga boleh memeriksa warna duit syiling tersebut untuk memastikan warnanya sama dan serata.
CIRI-CIRI KESELAMATAN WANG KERTAS MALAYSIA
Untuk membantu anda mengenal pasti ketulenan wang kertas, ciri-ciri keselamatan utama wang kertas Malaysia (siri ketiga) adalah seperti berikut:

Kertas
Wang kertas Malaysia dihasilkan daripada kertas yang bermutu tinggi yang diperbuat daripada kapas. Apabila disentuh, wang kertas terasa kesat sedikit dan apabila diramas hasilnya ialah bunyi kerangupan yang unik.

Potret Yang di-Pertuan Agong
Potret Yang di-Pertuan Agong Pertama yang terdapat di sebelah kanan wang kertas adalah satu ciri pencegah pemalsuan yang sukar untuk disalin atau dikeluarkan semula.

Potret Tanda Bayang [1]
Imej samar-samar Potret Yang di-Pertuan Agong Pertama boleh dilihat pada petak kosong di sebelah kiri wang kertas, sekiranya ditatap pada cahaya. Imej daripada cahaya ini bercorak 3 dimensi dengan alunan warna gelap dan terang yang berbeza-beza dalam keadaan lembut dan berbayang, tanpa garisan luar yang nyata. Di bahagian bawah potret tanda bayang ini terdapat angka berkaitan. Sebagai contoh, angka 50 dipaparkan untuk denominasi RM50.
Benang Keselamatan [2]
Benang keselamatan ini ditenun di permukaan sebelah belakang wang kertas. Apabila dilihat pada cahaya, benang ini kelihatan seperti satu garisan lurus yang kehitaman dengan huruf dan nombor yang berkaitan dicetak berulang kali. Sebagai contoh, "BNM RM50" dicetak berulang kali pada wang kertas denominasi RM50.
Ciri-ciri LEAD [3]
Di sebelah kanan wang kertas denominasi RM50 dan RM100, terdapat jalur hologram yang berkilau. Jalur hologram ini mengandungi 3 perkara, iaitu:
  1. Imej yang sama dengan yang terdapat di sebelah kanan potret Yang di-Pertuan Agong Pertama.
  2. Imej yang menunjukkan angka denominasi (contoh RM50)
  3. Imej huruf-huruf "BNM"

Ciri-ciri PEAK [4]

Ciri-ciri PEAK ini terdapat di bahagian tengah wang kertas. Apabila dilihat dari sudut yang berlainan pula, angka denominasi boleh dilihat di pertengahan kotak. Sebagai contohnya, angka 50 dicetak untuk wang kertas denominasi RM50.

Tanda Pandang Telus [5]

Bunga raya di bahagian atas dan bawah wang kertas adalah serupa di kedua-dua belah permukaan (depan dan belakang) wang kertas.

Cetakan Intaglio [6]

Potret Yang di-Pertuan Agong Pertama, nombor denominasi corak dan perkataan 'BANK NEGARA MALAYSIA' adalah dicetak dengan beberapa lapisan dakwat halus untuk menghasilkan kesan timbul.


CIRI-CIRI KESELAMATAN DUIT SYILING

Ciri-ciri keselamatan yang diterapkan pada duit syiling ialah terdapatnya ukiran timbul pada reka bentuk, kelilingnya yang bergerigi dengan nombor dan karektor pada muka hadapan dan belakang. Jika duit syiling dijatuhkan pada permukaan yang keras, maka bunyi berdering akan kedengaran. Anda juga boleh memeriksa warna duit syiling tersebut untuk memastikan warnanya sama dan serata.

WANG KERTAS LUSUH

Setelah agak lama di edaran, wang kertas boleh bertukar menjadi lusuh. Anda boleh menukar atau mendepositkan wang kertas lusuh di mana-mana cawangan bank perdagangan. Adalah tidak wajar wang kertas lusuh diedarkan semula memandangkan ia tidak begitu sesuai lagi untuk digunakan kerana ciri-ciri keselamatannya sudah tidak berkesan lagi seperti mana yang terdapat pada wang kertas bersih. Di samping itu, keupayaan orang ramai mengenal pasti wang kertas yang tulen akan terjejas. Anda boleh memainkan peranan untuk memastikan wang kertas sempurna dan bersih sahaja berada di edaran dengan menukarkan wang kertas lusuh dengan wang kertas sempurna. Keadaan wang kertas yang sempurna dan bersih ini sebenarnya mencerminkan imej negara kita.

WANG KERTAS YANG TERCONTENG

Anda adalah dinasihatkan agar tidak menconteng permukaan wang kertas dengan apa-apa perkataan, tanda, simbol, lukisan atau mesej yang tidak enak dibaca. Anda juga dinasihatkan agar tidak menebuk lubang pada duit syiling. Jika anda berbuat demikian, tiada nilai yang dapat diberikan ke atas wang kertas atau duit syiling tersebut apabila ditukar di bank perdagangan atau cawangan BNM.

WANG KERTAS CACAT

Jika anda memiliki wang kertas cacat dan telah rosak, anda boleh menukarkannya dengan wang kertas baru di mana-mana cawangan BNM. Wang kertas yang mengalami kecacatan atau kerosakan yang teruk akan menjalani pemeriksaan yang rapi sebelum nilainya dapat diberi. Faktor utama yang menyebabkan wang rosak ialah apabila terbakar atau terkena air, bahan kimia dan bahan letupan. Selain daripada itu, kerosakan boleh berlaku akibat haiwan dan serangga atau dalam keadaan tertanam atau terurai. Keputusan untuk memberi nilai adalah tertakluk kepada budi bicara BNM.

MATA WANG PALSU:

APA TINDAKAN ANDA?

  • Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil jika anda mengesyaki seseorang telah memberi wang palsu Malaysia kepada anda:
  • Cuba lengahkan pemergian orang yang memberi wang palsu tersebut serta camkan orangnya dan temannya, jika ada, di samping nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan.
  • Jangan menconteng, memotong atau mengedar semula wang palsu tersebut.
  • Jika perlu menyentuh wang tersebut, pastikan sentuhan adalah yang paling minimum (anda boleh memasukkannya ke dalam sampul surat atau beg plastik). Catatkan butir-butir yang agak penting, seperti bagaimana anda mendapat wang tersebut, daripada siapa, di mana dan bila anda memperolehinya.
  • Bawalah wang palsu tersebut ke balai polis yang berhampiran dan serahkanlah ia kepada pihak polis sebaik sahaja laporan polis telah dibuat.

No comments:

Sumber : http://www.firdauskasim.com/2011/02/tutorial-yang-didedikasikan-kepada-azza.html#ixzz1PRfftMsn

Popular Posts

Custom Search