31 October 2007

Khutbah (Peringatan Bersama)

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan puan sekelian supaya bertakwa kepada Allah dan berusaha meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah. Bertakwa dalam erti kata yang sebenar iaitu kita melakukan segala yang disuruh oleh Allah SWT, tanpa memilih milih apa yang sesuai dihati, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah.

Marilah sama-sama kita rofo'kan segala pujian dan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan kepada kita keupayaan kekuatan dan keinginan untuk kita melakukan ibadat. Kita berharap agar Allah SWT dapat menerima segala usaha murni kita dan kita bermohon agar segala kesalahan kita diampunkannya.

Marilah kita memohon agar Allah SWT memberi perlindungan dan keselamatan kepada seluruh umat Islam yang kini ditindas dan disiksa. Kita berasa amat bimbang ketika umat Islam keluar beramai-ramai, berhimpun menunaikan solat maka pihak musuh mengambil kesempatan melakukan pembunuhan beramai-ramai. Kita bimbang tentang keselamatan saudara kita di Iraq, kita bimbang tentang saudara kita di Palestin dan kita bimbang tentang saudara kita di Selatan Thai.

Marilah kita menghitung dan membuat muhasabah diri. Bagaimana dengan puasa kita ? Adakah sekadar menahan lapar dan dahaga ? Bagaimana dengan solat tarawih? Adakah sekadar menghantar anak ke masjid sebagai wakil ? Bagaimana dengan bacaan Quran kita ? Bagaimana pula dengan sedekah? Berapa banyak yang kita hulurkan? Atau masih berdalih atas dasar kemiskinan ? Bagaimana dengan qiamulail?

Umat Islam yang lain bengkak mata menangis kerana mengenangkan dosa-dosa yang tak terampun, atau kita juga bengkak mata kerana tidur siang dan malam, kononnya tidur orang berpuasa itu pahala. Sudahlah, saban tahun diberi peringatan dan membuat muhasabah, namun perangai lama masih lekat berkarat. Walau pun syaitan dirantai, namun sifat kesyaitanan masih menebal didalam hati. Alasan demi alasan. Bila Ramadan berakhir, anak yang mendapat pahala lebih dari ibu bapa. Anak yang mendirikan solat terawih, sedangkan ibu bapa dirumah sudah lama terkeweh, anak yang menghadiri majlis qiamulail masjid, ibu bapa hanya berpesan jangan lupa membawa balik bubur kanji dari masjid.

Firman Allah ;
"DAN BUKANLAH BAGI MANUSIA ITU MELAINKAN APA YANG DIA SENDIRI USAHAKAN. SESUNGGUHNYA USAHANYA AKAN DIPERLIHATKAN PADA HARI KIAMAT KEMUDIAN AKAN DIBERI BALASAN YANG SETIMPAL."
( Surah An-Najm : 39-41 )

Allah menerangkan agar segala amalan kita adalah kerana Allah Taala. Sembahyang kita, puasa kita, segala ibadat kita adalah kerana Allah tanpa sebarang unsur syirik terhadap ke esaan Allah.

Untuk mengetahui kebenarannya, marilah kita perhatikan tingkah laku kita. Adakah solat berjemaah kita di masjid hanya dibulan Ramadan saja ? Adakah puasa kita hanya yang wajib sahaja dibulan Ramadan ? Adakah sedekah, qiamulail dan bacaan quran hanya dibulan Ramadan ? Jika itulah keadaan kita, para ulamak menggelar orang-orang sebegini sebagai hamba Ramadan dan bukan hamba Tuhan.

Adalah diharapkan pada hari-hari yang akan datang agar kita dapat hadir berjemaah tanpa sebarang keuzuran, kita dapat tunaikan sedekah, dapat membaca al Quran sepanjang masa. Kalau dimalam-malam Ramadan kita penuhkan masjid dengan solat tarawih maka selepas Ramadan kita penuhkan dengan kelas pengajian ilmu. Jangan banyak komen, ustaz itu tak betul, ustaz ini tak betul. Kalau kita saja yang betul, buka kitab dan mulakan kelas. Tuhan jadikan satu mulut dan dua telinga supaya kita banyak mendengar dari banyak bercakap. Banyak bercakap banyak salah, banyak salah banyak dosa.

Kita semua maklum, ketika bulan Ramadan pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dirantai. Hari ini bukan lagi Ramadan, maka segala syaitan telah dibebaskan, waspadalah kita agar tidak terperangkap dengan umpanan syaitan.

Musuh-Musuh Iblis

Musuh iblis yang Pertama ialah nabi Muhammad saw. Andaikata kita membenci Rasulullah, dengan menghinanya, mempersendakannya dan menolak segala perintahnya maka kita juga musuh Rasululllah dan rakan kongsi syaitan. Andaikata kita bersekongkol dengan kafir kristian, kafir yahudi atau pun kafir hindu maka kita juga adalah musuh Rasulullah dan musuh Allah.

Musuh ke-2 syaitan ialah pemerintah yang adil, yang melaksanakan segala perintah yang terkandung dalam al Quran tanpa memilih milih. Mereka melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi. Mereka tidak memilih kawan kroni dalam menganugerahkan sebarang kontrak, mereka tidak bertemu rakyat hanya apabila pilihan raya datang.

Musuh ke-3 syaitan ialah orang kaya yang tawadhu' yang merendahkan diri dengan segala kekayaan yang dimiliki. Mereka tidak hanya menderma dihadapan tv dengan cek maya malah sering menderma tanpa diketahui.

Musuh ke-4 syaitan ialah peniaga yang jujur. Peniaga yang berniaga bukan setakat mengira keuntungan malah membuat kebajikan. Peniaga yang mengingati kewajipan zakat melebihi kemewahan ketika menutup kira-kira tahunan.

Musuh ke-5 syaitan ialah orang berilmu yang merendah diri. Mereka tidak pernah mengatakan orang ini jahil dan orang itu bodoh, malah sering membantu menyelesaikan masalah.

Musuh ke-6 syaitan ialah orang mukmin yang sering memberi nasihat. Mereka tidak diam membisu apabila berhadapan dengan pertolongan, nasihat yang diberikan adalah ikhlas, tanpa mengharap sebarang upah ganjaran.

Musuh ke-7 syaitan ialah orang mukmin yang lembut hatinya. Mereka mudah simpati dengan saudara mereka yang ditimpa kesusahan, mereka umpama jasad yang satu. Cubit paha kiri, paha kanan terasa jua.

Musuh ke-8 syaitan ialah orang yang bertaubat dan kekal dengan taubatnya tanpa mengulangi perbuatan maksiat.

Musuh ke-9 syaitan ialah orang yang menjauhkan diri dari perkara haram.

Musuh ke-10 syaitan ialah orang mukmin yang sentiasa dalam keadaan suci tubuh badan. Mereka sentiasa berada dalam wudhu'.

Musuh ke-11 syaitan ialah orang mukmin yang banyak bersedekah. Mereka lebih merasakan kesusahan orang lain dan tidak mementingkan diri sendiri.

Musuh ke-12 syaitan ialah orang mukmin yang baik akhlaknya sesama manusia.

Musuh ke-13 syaitan ialah orang mukmin yang boleh memberi manfaat kepada orang lain. Mereka tidak kedekut ilmu, pengetahuan atau pun pengalaman.

Musuh ke-14 syaitan ialah orang yang sentiasa membaca Al-Quran.

Musuh ke-15 syaitan ialah orang yang bangun tengah malam sedangkan orang lain masih nyenyak tidur.

Sahabat-Sahabat Iblis

Nabi Muhammad SAW bertanya kepada Iblis; Siapakah pula sahabat-sahabat mu ?

Lantas jawab iblis laknatullah, ada 10 golongan.

Yang Pertama: Pemerintah yang kejam dan zalim. Pemerintah yang hanya mengira kesenangan dirinya tanpa mempedulikan kesusahan rakyat.

Sahabat ke-2; orang kaya yang sombong dan bongkak. Orang kaya yang suka menghina golongan marhain, mereka menganggap orang-orang miskin sebagai menyusahkan. Mereka suka menunjuk-nunjuk kekayaan mereka.

Sahabat ke-3; Peniaga yang khianat. Tak kira sama ada peniaga runcit atau golongan korporat.

Sahabat ke-4; Peminum arak. Ingatlah bahawa arak adalah punca kepada segala kejahatan. 10 kutukan Allah bersangkutan dengan arak, diantaranya ialah peminumnya, tukang perah, penjual, orang yang memakan keuntungannya, pembawa dan juru hidangnya. Apatah lagi yang menyediakan dan yang meluluskan operasinya. Mereka ini sentiasa dilaknat Allah.

Sahabat syaitan ke-5; orang yang suka mengumpat dan mengadu domba.

Sahabat syaitan ke-6; Orang yang berzina dan segala perkara yang berkaitan dengannya. ni termasuklah meluluskan premis zina, mengambil keuntungan dan cukai perniagaan. Mari kita tanya kepada golongan ini, adakah mereka suka isteri mereka berzina dengan anak muda atau anak perempuan mereka berzina dengan teman lelakinya ? Jika tidak, kenapa masih bersekongkol dalam meluluskan premis-premis perniagaan ini. Saban minggu cerita pelacuran didedahkan di media massa. Apakah mereka ini pekak atau memang suka kepada zina.

Sahabat syaitan ke-7 ; Pemakan harta anak yatim. Ini termasuklah mereka yang memungut derma dengan menjanjikan habuan untuk anak yatim tetapi sebaliknya segala kutipan dikebas habis.

Sahabat syaitan yang ke-8 ; orang yang meringan-ringankan solat. Ini termasuklah orang yang mementingkan kerja daripada sembahyang. Mereka sanggup meninggalkan solat fardhu hanya kerana membentangkan perjuangan yang belum selesai.

Sahabat syaitan ke-9; Orang yang enggan mengeluarkan zakat, tetapi tamak kepada wang zakat. Dengan kuasa yang ada pada tangan mereka, wang zakat diperlakukan semahunya. Golongan yang berhak dipinggirkan.

Sahabat syaitan ke-10 ; orang yang panjang cita-cita. Mereka ini bercita-cita untuk hidup lama dan amat takut dengan kematian.

Inilah sepuluh golongan kroni iblis yang dilaknat Allah. Mungkin mereka mempunyai alasan untuk menjawab setiap tindak tanduk mereka namun apa pun alasan, mereka tetap saudara iblis laknatullah.

Justeru, hitunglah diri kita. Dimanakah kita berada? Adakah kita bersama-sama Rasulullah SAW atau bersama iblis laknatullah. Kita tahu bahawa iblis adalah musuh kita. Kita sedar bahawa iblislah yang enggan tunduk sujud pada datuk kita Adam A.S. Kerana Iblislah Nabi Adam dan Hawa terkeluar dari syurga. Iblis telah mula menipu sejak dari Adam lagi. Tetapi kita masih mengikutnya.

Firman Allah :

"Bukankah AKU telah memerintahkan kepada wahai anak Adam supaya tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata. Dan hendaklah kamu menyembah AKU, inilah jalan yang benar. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar dari kamu, apakah kamu masih tidak memikirkan? Inilah neraka jahanam yang dulunya kamu diberi peringatan. Rasakanlah api neraka pada hari ini disebabkan kamu dahulunya mengingkari kewujudan neraka. Pada hari ini mulut-mulut kamu ditutup, tangan kamu pula boleh berkata-kata dan kaki-kaki kamu menjadi saksi terhadap apa yang kamu lakukan selama ini."

( Surah Yassin : 60-65 )

Menziarahi Kubur

Telah menjadi adat, pada setiap hari raya kita akan keluar mengunjungi tanah pusara perkuburan. Oleh itu menjadi tanggung jawab mimbar untuk memberi peringatan dan panduan.

Imam Al-Ghazali telah menggariskan panduannya, diantaranya ialah;

Menziarahi kubur dengan tujuan mengingati mati adalah sunat hukumnya. Kaum wanita pada suatu masa dahulu dilarang oleh Rasulullah menziarahi kubur, bahkan dilaknat. Namun setelah diberi pengajaran barulah di izinkan, tetapi dengan syarat ;

Jangan sebut perkataan-perkataan yang tak elok di dengar.
Jangan berpakaian cantik-cantik, andaikata pakaian itu lusuh, aurat ditutup rapi, tiada siapa yang akan terpesona, barulah boleh menziarahinya.
Ketika menziarahi kubur hendaklah berdiri membelakangkan kiblat, duduk dibahagian kepala.
Mula-mula beri salam kepada simati. Jangan usap atau kucup batu nisan kerana itu adalah amalan orang Kristian.
Boleh menangis, tetapi tidak boleh mendayu dan meratap.
Jangan terbawa-bawa dengan tangisan, kerana ia boleh menyiksa simati didalam kubur.

Dari Aisyah R.A katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda ;

"Mayat akan diazab siksa dengan tangisan kaum keluarga ke atasnya."

Adalah digalakkan kepada penziarah kubur supaya banyak membaca Al-Quran, berzikir dan mendoakan kepada simati, doakan kepada semua yang mati dan seluruh muslimin. Hendaklah orang yang menziarahi kubur turut menziarahi kubur orang-orang soleh dan orang baik-baik. Berhenti dengan lama disitu bukannya dengan sepintas lalu.

Jangan sekali-kali melangkahi kubur atau duduk bertenggek diatas kubur orang lain.

Ingatlah bahawa azab kubur adalah benar. (Sekali pun seorang penulis didalam majalah Al-Islam pernah menafikannya).

Sabda Rasulullah SAW; "Azab kubur adalah benar, sesiapa yang tidak mempercayainya akan diazab."

Diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari dan sahih Muslim, dari Abi Hurairah R.A berkata ; Bersabda Rasulullah SAW ;

"Apabila kamu selesai membaca tahiyyat akhir maka mohonlah perlindungan dari Allah daripada 4 perkara: Dari azab neraka jahanam, dari azab siksaan kubur, dari fitnah orang yang masih hidup dan yang mati dan dari kejahatan ad-Dajjal."

Kalaulah tidak ada siksa kubur, masakan Rasulullah memohon perlindungan dari Allah. Mudah-mudahan hadith ini dapat menjernihkan segala kekeliruan yang timbul.

Dari ibn Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda ;

"Sesungguhnya kebanyakan orang yang disiksa kubur adalah yang tidak cermat ketika membuang air kecil, maka hendaklah kamu berdehem dengan suara yang kuat ketika membuang air kecil."

Berikut adalah sebuah hadith mengenai siksaan yang boleh dikenakan keatas kita. Hanya amalan sahaja yang dapat menyelamatkannya.

Diriwayatkan oleh Imam At-Tabrani ; Sabda Rasulullah SAW ;

"Apabila kamu mati akan datang malaikat mengepung kamu, kemudian datang wudhu menyelamatkan kamu. Kemudian akan datang azab kubur, sembahyang pula menyelamatkan kamu. Datang syaitan pula mengepung, amalan zikir dapat menyelamatkan kamu. Kamu akan rasa haus hingga terjelir lidah, datang puasa menyelamatkan kamu. Kamu akan dikelilingi kegelapan, haji dan umrah yang mengeluarkan kamu. Datang pula malaikat maut, taat dan patuh kepada ibu bapa menyelamatkan kamu. Datang malaikat zabaniah untuk mengazab, amar maaruf dan nahi mungkar yang menyelamatkan kamu. Datang pula haba api neraka, air mata taubat yang mengalir dimalam hari menyelamatkan kamu. Ketika meniti titian sirat yang bergoyang-goyang, datang sembahyang memimpin tangan. Sebaik sahaja lepas melintas, pintu syurga pula tertutup, maka dating kalimah syahadah yang membukanya.

Ziarah-menziarahi

Kita akan saling ziarah menziarahi. Didalam hal ini Imam An-Nawawi berpesan bahawa adalah menjadi tuntutan supaya kita mendahului orang-orang soleh dan orang-orang alim, kemudian saudara mara, kemudian jiran dan rakan diikuti pula oleh kaum kerabat. Muliakanlah mereka, berbuat baiklah kepada mereka dan jalinlah hubungan silatulrahim.

Firman Allah SWT ;

"Wahai orang-orang beriman, peliharalah diri mu dan keluarga mu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Disana terdapat malaikat yang kasar dan keras dimana mereka tidak pernah menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan dan selalu mengerjakan apa yang disuruh."

( Surah At-Tahrim : 6 )

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan/puan sekelian agar kita bertakwa kepada Allah. Ini bermakna kita mengerjakan semua suruhan Allah dan dalam masa yang sama kita meninggalkan semua larangannya. Ianya mestilah dilakukan serentak. Bertakwa tidak bermakna, andai kata kita melakukan suruhan Allah seperti sembahyang, puasa dan zakat tetapi dalam masa yang sama kita mengumpat, mengeji dan mengutuk seseorang. Oleh kerana kita datang berterawih, maka kita umpat keji orang yang tidak datang. Perbuatan ini salah. Begitu juga bertakwa itu lebih tidak bermakna dengan meninggalkan larangan Allah walau pun tidak melakukan maksiat.

Kita sering mendengar seseorang berkata: 'dia tu walau pun tak sembahyang tapi sangat baik, suka tolong orang susah.' Sebenarnya dialah paling jahat kerana enggan tunduk sujud pada Allah Tuhan yang menciptanya. Langsung tidak ada rasa takut atau rendah diri pada Allah. Apatah lagi bagi mereka yang suruhan Allah tidak lakukan bahkan maksiat pula menjadi-jadi.

Mereka tidak sembahyang, tidak berpuasa, tidak membaca Al-Quran ditambah lagi mereka berjudi, berpeleseran, berpoya-poya. Hidup tanpa arah tujuan, yang mereka tahu hanya hiburan. Bangun pagi hiburan, nak mandi mendengar hiburan, nak bersarapan hiburan, naik kereta hiburan, bekerja pun hiburan. Mereka ini sudah dijangkiti virus hedonisme. Kalau dah suka sangat pada hiburan maka bila mereka mati kelak, kita sediakan kumpulan-kumpulan muzik untuk mereka, biar sama dengan agama lain yang sesat. Tiada doa dan tiada talkin.

Akhlak

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
"SESUNGGUHNYA AKU DI UTUSKAN UNTUK MENYEMPURNAKAN AKHLAK."

Mari kita meninjau dengan lebih dekat lagi mengenai akhlak dan diri kita sendiri.

Akhlak merupakan tabiat atau kelakuan yang diamalkan bertahun lamanya, ianya bukan boleh dibuat-buat atau dilakonkan. Seseorang yang suka bercakap keras mungkin sudah bertahun lamanya berperangai demikian. Kalau ia ingin menukar kepada bercakap sopan maka ia perlukan kekuatan dalaman dan latihan setiap hari dan ianya memakan masa bertahun lamanya. Akhlak menggambarkan peribadi seseorang, ia mungkin boleh berlakon sebagai seorang imam, ahli sufi atau tuan guru tetapi mungkin esok hari kita mendapat berita bahawa ia ditangkap basah kerana berkhalwat dengan isteri orang. Seseorang itu boleh berlakon sebagai seorang qariah atau ustazah atau anak yang solehah, tapi esoknya pula ditangkap kerana memiliki sejumlah dadah.

Persoalan akhlak meliputi semua peringkat usia manusia, baik kecil mahu pun besar, baik tua mahu pun muda, lelaki dan perempuan rakyat biasa dan menteri kabinet, imam dan makmum, pendek kata semuanya sekali, tiada manusia yang terkecuali. Sebab itulah persoalan salah laku akhlak ini pernah mendapat tentangan seorang ahli parlimen yang dibelakangnya mendapat sokongan lebih dari 50 pertubuhan NGO. Permintaan mereka agar salah laku akhlak tidak dicatat sebagai kesalahan dalam undang-undang sivil.

Mereka berjaya dan berbangga. Impak dan kesannya ialah, kalau anak kita yang berusia 18 tahun keatas berkelakuan lucah didalam rumah kita maka kita tidak ada hak untuk menegur dan mendakwa mereka, atas alasan hak asasi manusia. Hatta kalau ada yang berbogel didalam kawasan masjid, tiada peruntukan untuk mendakwa mereka. Hak asasi manusia. Kita pun tak tahu apa agama anutan ahli parlimen tersebut, yang pastinya namanya sama dengan nama orang Islam dan berbangsa Melayu.

Prinsip Akhlak dan kaitannya dengan rukun Islam

(1) Yang pertama fardhu sembahyang ; Firman Allah SWT ;

"DIRIKANLAH SEMBAHYANG, SESUNGGUHNYA SEMBAHYANG ITU DAPAT MENCEGAH DARI KEJAHATAN DAN KEMUNGKARAN."

Itulah tujuan kita bersembahyang, cegah dari kemungkaran dan kejahatan.

Andaikata kita bersembahyang tapi masih lagi melakukan kejahatan, seperti membeli empat nombor ekor, mengumpat dan sebagainya maka solat kita masih tidak dapat menyempurnakan akhlak kita. Tujuan solat selain dari mengabdikan diri kepada Allah ianya juga membentuk diri kita dengan akhlak yang baik. Mendirikan solat bukan boleh dilakonkan. Orang Islam yang mendirikan solat hanya dapat melakukannya dengan hati yang tulus. Berapa ramai dikalangan kita yang tahu cara bersembahyang, tahu hukum meninggalkan sembahyang tapi masih tidak mendirikan sembahyang, kenapa ? kerana hatinya masih keras macam batu.

Benarlah sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud ;

"Didalam jasad ada seketul daging, kalau baik daging itu baiklah jasad tersebut, kalau busuk daging tersebut buruklah jasad tersebut, itulah hati."

(2) Zakat dan sedekah.

Firman Allah yang bermaksud ;

"AMBILLAH SEBAHAGIAN DARI HARTA MEREKA SEDEKAH, YANG DAPAT MEMBERSIHKAN DAN MENYUCIKAN MEREKA."

Jelas akhlak dari ibadat zakat atau sedekah ialah untuk membersihkan jiwa dari perasaan dengki, hasad, tamak dan sebagainya. Saban tahun kita mengeluarkan zakat fitrah, namun perasaan hasad, dengki dan tamak masih meliputi tebal hati kita. Untuk bersedekah amat susah sekali. Bila tabung masjid lalu dihadapan kita, maka kita akan sorong lagi supaya lebih laju. Kenapa tak isikan tabung tersebut ?

Banyak jawapan yang diterima, aku masih sekolah lagi, mana ada duit, aku baru masuk universiti, duit ptptn pun belum dapat lagi. Sedangkan bila dapat duit bantuan, telefon bimbit yang dibeli dulu, kononnya keperluan. Maka kota tabung tadi disorong kesebelah. Bila bekerja pula, alasannya baru bekerja belum dapat gaji lagi. Maka kotak tabung tadi disorong lagi. Kemudian alasannya lagi baru kahwin, kemudian alasannya lagi baru dapat anak, kemudian alasannya lagi baru beli kereta, kemudian alasannya baru beli rumah. Seribu satu alasan diberikan.

Akhir sekali maka jasadnya pula diletak orang didalam kotak keranda dan disorong ketanah perkuburan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ;

"TAKUTI API NERAKA WALAU DENGAN BERSEDEKAH SETENGAH BUTIR TAMAR."

Setengah butir tamar kalau nak dibeli tidak ada nilainya dengan duit, namun dapat menyelamatkan kita dari api neraka.

(3) Puasa.

Ibadat puasa juga membentuk akhlak kita supaya menjadi lebih sabar dan lebih tenang.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud ;

"Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum, sesungguhnya puasa itu ialah menahan diri dari melakukan perkara perkara yang melalaikan dan perkara yang buruk. Kalau kamu dimaki oleh seseorang atau kamu diperbodohkan maka ucapkanlah, aku sedang berpuasa."

Itulah akhlak dari ibadat puasa. Menahan sabar dari caci maki dan diperbodohkan orang. Sifat sabar ini harus dibawa sehingga luar bulan puasa, sama ada semasa beratur membayar tol, menunggu giliran di kaunter-kaunter bayaran atau pun menunggu giliran mengambil makanan. Sedekah bukan sekadar bentuk kebendaan, perkataan yang baik itu sedekah, senyuman kepada orang lain juga sedekah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ;

"Senyuman kamu kepada saudara mu adalah sedekah, menyuruh berbuat baik dan melarang dari melakukan kejahatan adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada orang sesat adalah sedekah, membuang duri dan benda tajam dari jalanan adalah sedekah, memenuhkan air didalam baldi saudara mu adalah sedekah."
( Riwayat al-Bukhari )

(4) Haji

Seterusnya kita lihat kepada ibadat haji pula. Ibadat haji juga membentuk akhlak yang tinggi lagi mulia. Firman Allah SWT yang bermaksud ;

"Ibadat Haji itu beberapa bulan tertentu, barang siapa yang telah sampai wajib haji maka janganlah ia melakukan perkara kotor, jangan melakukan kejahatan dan jangan bertengkar semasa mengerjakan haji, dan apa saja kebaikan yang kamu lakukan diketahui Allah dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah bertakwa.Bertakwalah kepada KU, wahai orang-orang yang berakal."
( Surah al-Baqarah : 197 )

Unsur akhlak yang terserlah didalam ibadat haji berdasarkan ayat ini ialah; jangan melakukan perkara berahi, jangan melakukan perkara jahat dan jangan bertengkar. Namun begitu perkara-perkara inilah yang dilakukan oleh para jemaah haji. Disebut jangan bertengkar, tetapi itulah yang banyak berlaku. Bertengkar dengan pegawai tabung haji kerana tempat penginapan yang kurang selesa, bertengkar dengan peniaga arab untuk mendapatkan kain tudung yang murah, bertengkar dengan pemandu van untuk mendapatkan tambang murah ketika ke Tan'im, bertengkar sesama suami atas dasar tidak puas hati. Mereka lupa tentang akhlak seorang jemaah haji. Jika begini masakan dapat haji mabrur. Yang jelasnya hajinya sudah hancur lebur. Mereka lebih banyak bertawaf di kedai-kedai sekitar masjid dari bertawaf di Baitullah.

Oleh yang demikian, ibadat sembahyang, puasa, zakat dan haji merupakan paksi bagi akhlak mulia.

(5) Mengucap dua kalimah syahadah

Seperkara lagi ialah mengucapkan dua kalimah syahadah. Ini adalah kunci segalanya. Kalimah syahadah jika tidak diucapkan dengan penuh kesedaran maka amalnya tidak bernilai. Sia-sia saja melakukan solat kalau syahadahnya tidak betul, begitu juga dengan puasa, haji dan zakat. Kalimah syahadah bermaksud; AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH, DAN AKU BERSAKSI BAHAWA MUHAMMAD ITU RASULULLAH. Persoalan betulkah Allah itu tuhan kita?

Jika betul maka diterimalah segala amal ibadat kita, jika tidak maka amalan kita sia-sia sahaja. (Ketika Allah mengharamkan arak kepada kita, kita bukan sekadar menghalalkan, malahan membina kilangnya). Betulkah Allah itu tuhan kita ? (Ketika Allah mengharamkan judi kita masih lagi meluluskan lesen premis perjudian, kononnya atas dasar berbilang agama dan berbilang kaum) Betulkah Allah itu tuhan kita ?

Seterusnya betulkah Muhammad itu rasul ikutan kita ? Ketika Rasulullah mengharuskan poligami, ada suara-suara biadap yang menuduh baginda sebagai sex maniac atau gila seks. Ketika baginda menjadikan berjanggut itu sebagai sunnah, maka ada yang memperkecilkan sunnah baginda atas dakwaan tiada pisau gilette. Betulkah Muhammad itu rasul kita ? Rasulullah bengkak kaki kerana beribadat ditengah malam, kita juga bengkak kaki kerana bermain bola atau berdiri menonton konsert. Setiap malam Rasulullah membaca al-Quran tapi kita setiap malam membaca senikata lagu di pusat-pusat karaoke. Betulkah Rasulullah nabi ikutan kita ?

SIAPA AKU ?

Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu rasulullah, Siapa Aku ?

Sahaja aku bersembahyang sunat hari raya idil fitri 2 rakaat makmum kerana Allah Taala. Siapa Aku ?

Sahaja aku berpuasa esok hari di bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Taala. Siapa Aku ?

Inilah zakat fitrah ku yang wajib atas diri ku pada tahun ini, Siapa Aku ?

Sahaja aku menunaikan haji dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Siapa Aku ?

Dalam semua bentuk ibadat, niat memainkan peranan. Perkataan AKU sering disebut, namun siapakah AKU yang dilafazkan dan diniatkan itu ? Kenalkah kita kepada AKU kita ?

Manusia dijadikan daripada 2 unsur penting, roh dan jasad. Setelah jasad terbentuk maka roh pula ditiupkan. Maka hiduplah kita dengan roh. Tanpa roh tamatlah peranan seseorang manusia. Apabila kita mati jasad kita akan disemadikan didalam tanah, berair, berulat dan busuk. Akhirnya sebati menjadi tanah. Yang akan menemui Allah ialah roh kita, itulah AKU kita.

Kebanyakan manusia hari ini berpegang dengan aku jasad bukan aku roh, sedangkan yang akan menemui Allah ialah aku roh. Buktinya firman Allah ;

"Wahai jiwa-jiwa yang tenang (roh), kembalilah kamu kepada tuhan kamu dalam redha dan diredhai, masuklah kamu bersama hamba ku dan masuklah kamu dalam syurga ku."
( Surah Al-Fajr : 27-30 )

Ramai manusia pada hari ini yang hanya mementingkan aku jasad. Aku jasad adalah aku yang mementingkan kebendaan. Ini rumah aku. Ini tanah aku, ini jawatan aku, ini kebun aku, ini harta aku, ini anak aku, ini perniagaan aku, semuanya milik aku. Inilah manusia kebendaan. Mereka tidak akan dapat hidup tanpa benda. Mereka juga memandang manusia lain dan menilainya berdasarkan harta benda. Mereka akan sentiasa risau tentang kekurangan harta benda mereka. Sifat mereka ialah, pentingkan diri, tamak, sombong, suka menunjuk-nunjuk, hasad, dengki dan busuk hati. Tidak hairanlah jika mereka sanggup membunuh dan berlaku zalim demi mempertahankan aku jasad tadi.

Manakala aku roh pula tidak mementingkan diri sendiri, suka membantu, kerana mereka percaya bahawa setiap amalan kebaikan akan diberi pahala. Aku jasad lebih sukakan pahala dari ganjaran, sanjungan dan pangkat darjat. Aku roh akan tenang dalam segala keadaan. Aku roh inilah yang akan menjunjung setiap titah perintah Allah, aku roh inilah yang amat kasih dan rindu kepada Rasulullah. Aku roh inilah yang sangat dibenci oleh aku jasad. Aku roh dianggap kolot, ketinggalan zaman dan pengganggu oleh aku jasad.

Ingatlah bahawa aku roh tidak akan sengsara sakit didunia. Nabi Allah Ibrahim selamat dari api kerana aku rohnya tulus dan ikhlas kepada Allah. Nabi Allah Ilyas tidak pernah merungut tentang penyakitnya, walau pun dilihat oleh mata kasar manusia lain sebagai penyakit yang berat. Sahabat nabi Yasir, sekali pun dimasak didalam minyak panas tetapi tetap sabar. Bilal bin Rabah tabah menghadapi siksaan kerana AKU yang didalam itu sangat kuat. Pejuang Islam, Asysahid Sayyid Qutb mampu menguntum senyuman walau pun mati digantung oleh Presiden Jamal Abdul Nasir.

Kesemuanya ini ialah kekuatan aku roh. Oleh yang demikian segala ibadat kita yang berkaitan dengan niat aku, akan membentuk akhlak kita yang sebenar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ;

"Semua kamu dari Adam, dan Adam dari tanah. Tiada kelebihan bagi orang arab terhadap bukan arab melainkan dengan takwa."

Walau bagaimana pun bukanlah kita menafikan kehendak jasad. Peranan kita sebagai khalifah Allah ialah mengimbangkan keperluan roh dan jasad. Sebaik-baik perkara itu ialah kesederhanaan.

Akhlak adalah segala-galanya. Kita hormati orang-orang tua kerana umurnya yang tua menunjukkan pahalanya yang banyak. Kita sanjungi yang muda kerana umurnya yang sedikit menunjukkan dosanya yang sedikit. Berapa ramai ibu bapa terpesona dengan anak muda dan ingin menjadikannya menantu kerana akhlaknya yang baik. Begitu juga berapa ramai anak muda yang menghormati orang tua dan sanggup menjadi menantu mereka kerana akhlak mereka yang mulia.

Ditanya kepada Aisyah R.A tentang akhlak Rasulullah, maka jawabnya "ADALAH AKHLAK RASULULLAH ITU IALAH AL-QURAN."

Semua akhlak yang baik dari al-quran itu terpamer pada peribadi diri Rasulullah SAW. Adalah diharapkan bahawa kita mengubah akhlak kita menjadi lebih baik dan lebih mulia. Ingatlah kita semakin tua, kalau ada kuasa ditangan kita, suatu hari nanti akan jatuh juga. Berapa ramai orang yang dimuliakan semasa berkuasa, tetapi sebaliknya dihina malah ditentang setelah hilang kuasa, kalau dulu ianya sebagai bapa dan sebagai mentor, tetapi sekarang ianya dijadikan sebagai lawan dan sebagai musuh. Tetapi tidak kurang juga sebahagian manusia yang dihormati dan disanjungi walau pun sudah tiada kuasa lagi, kerana akhlaknya yang mulia. Kita berasa segan berhadapan dengannya.

Oleh itu marilah kita menyeru kepada semua agar seluruh jemaah bermaaf-maafan. Lupakan persengketaan yang lalu. Kadang-kadang kerana sedikit perselisehan kita berbalah berpanjangan. Didalam masjid yang mulia tiada fahaman A atau fahaman B. Semuanya orang Islam belaka.

Sabda Rasulullah SAW ; "TIDAK AKAN MASUK SYURGA SAMA SEKALI ORANG YANG MEMUTUSKAN HUBUNGAN SILATULRAHIM."

(6) Iman

Marilah pula kita renung perkaitan antara akhlak dan iman.

Iman merupakan unsur kekuatan yang dapat menolak tuannya dari terjerumus kekancah maksiat dan berupaya juga menggalakkan tuannya untuk terus beribadat. Lihat pada kebanyakan firman Allah, ianya dimulakan dengan seruan 'wahai orang-orang yang beriman' kemudian baru diikuti dengan tugasan. Contoh yang paling hampir ialah firman Allah ; "Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan keatas kamu puasa, sepertimana telah difardhukan kepada umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa."
( Al-Baqarah : 183 )

Ingatlah iman menggambarkan keperibadian kita. Perlakuan kita pula menggambarkan keimanan kita. Jika seseorang itu sanggup melakukan larangan Allah maka imannya sudah tipis atau langsung tiada iman. Manakala seseorang yang memiliki iman yang kuat sudah tentu tidak sanggup untuk melanggar perintah Allah. Walau pun iman didalam hati, namun manusia lain boleh mengukurnya.

Sabda Nabi SAW ;
"RASA MALU DAN IMAN ITU MELEKAT KEDUA-DUA SEKALI, APABILA TERANGKAT SATU, MAKA TERANGKATLAH SATU LAGI."

Maksudnya apabila terangkat iman maka tuannya sudah tidak malu untuk melakukan sesuatu, begitu juga apabila seseorang itu melakukan yang memalukan maka ia sudah tidak sempurna imannya.

Oleh yang demikian andaikata seseorang itu berkata ; "sungguh pun saya tidak menutup aurat maka anda tidak boleh mengatakan saya tak beriman, anda mana tahu iman saya, ia didalam hati ? Jawabnya memang imannya tidak sempurna, kerana ia telah melakukan sesuatu yang memalukan. Berdasarkan beberapa hadith maka iman seseorang itu dapat diketahui dan diukur dari tingkah lakunya.

Lihat pula pada anak gadis sekarang ini, perasaan malu hampir sudah tiada langsung. Seluar yang dipakai terlondeh sehingga menampakkan pusatnya. Kalau membonceng motosikal bersama pasangannya yang haram, sudah menampakkan lurah punggungnya. Janganlah marah kalau ada orang bertanya siapakah mak bapanya ?

Didalam sebuah hadith ada menyebut (maksudnya) ;

Rasulullah SAW melaknati 2 benda merah pada golongan wanita, yang pertama emas, kerana mereka asyik mengumpulkannya. Yang kedua celupan atau dye, bagi mereka yang mewarnakan rambut mereka atau anggota tubuh badan mereka. Sekali pun bahan mewarnakan rambut itu halal, namun perbuatan mewarnakan rambut itu adalah haram hukumnya, berlainan pula dengan berinai. Berinai kuku harus hukumnya, melukis bunga atau corak pada anggota tubuh adalah haram hukumnya. Oleh yang demikian didalam kita menghias diri kita janganlah ada yang terlajak sehingga melakukan perkara-perkara yang haram.

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Hargailah puasa kita selama 30 hari yang lalu, jagalah ia supaya jangan rosak. Rajinlah bersembahyang secara berjemaah. Menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah boleh kita lakukan setiap malam Ramadhan, kenapa diluar bulan Ramadhan solat fardhu maghrib dan isya' secara berjemaah tidak dapat dilakukan. Sepatutnya kita utamakan yang fardhu dari yang sunat.

Hiasilah dua hari raya kamu dengan ucapan tahlil, tahmid, takbir dan taqdis.


oooOooo

Khutbah ini telah dibaca pada 3hb November 2005 di Masjidus Salam,
Tambak Bunga, Batu 2.5 Jalan Kuala Kedah, 06600 Alor Star, Kedah

oleh:
Ustaz Mohd Akram Zaki bin Abd Rashid
Sek. Menengah Keb, Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi.

No comments:

Sumber : http://www.firdauskasim.com/2011/02/tutorial-yang-didedikasikan-kepada-azza.html#ixzz1PRfftMsn

Popular Posts

Custom Search